Wednesday, 4 September 2013

Kes Penipuan Sim Card Hijack 3 Individu Ditangkap



Bukit Aman, 4 Sept – Tangkapan terhadap 3 individu telah membawa kepada penyelesaian 10 kes penipuan sim card hijack yang melibatkan kerugian berjumlah RM 100,200 baru-baru ini.

Kejayaan terbaru Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia dan Operasi JSJK Bukit Aman ini turut merampas 2 unit laptop, 6 unit telefon bimbit, 1 unit decoder HyppTV, 1 unit broadband, 2 unit modem router, 4 unit kad ATM, 2 unit kad kredit dan 4 unit buku akaun simpanan.

Tangkapan melibatkan seorang lelaki warganegara Afrika, serta lelaki dan wanita warganegara tempatan telah ditahan reman di antara 6 hingga 7 hari bermula dari semalam. Ujar Datuk Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik dalam sidang media yang berlangsung di dewan komplex Jabatan Siasatan Jenayah Narkotok (JSJK). 

Sindiket didalangi warga Afrika tersebut yang juga pernah ditangkap terlibat dalam kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama dan telahpun dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam pada tahun 2011.

Suspek masih lagi melakukan kegiatan jenayah walaupun masih dalam jaminan mahkamah.
Suspek dipercayai berkemahiran untuk menggodam akaun internet banking dan emel bagi mendapatkan username dan password mangsa.

Seterusnya, suspek akan ke syarikat Telco untuk membuat pertukaran sim card milik mangsa untuk mendapatkan nombor TAC (Transaction Authorization Code) dan membolehkannya membuat transaksi pindahan wang ke akaun pihak ketiga.

Orang awam dinasihatkan untuk tidak menggunakan atau berkongsi kata laluan (password) yang sama ke atas akaun email/perbankan/aplikasi/laman web dan portal yang berlainan.

Isu kuil: Ketua Pemuda MIC desak Ku Nan letak jawatan

Isu kuil: Ketua Pemuda MIC desak Ku Nan letak jawatan


Ketua Pemuda MIC, T. Mohan yang ditahan polis kerana membantah perobohan kuil hindu di jalan P Ramlee menuntut Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Mansor meletakkan jawatan.
Katanya Tengku Adnan langsung tidak mencerminkan kredibilitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar apabila membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina dinding dalam kuil tersebut sekaligus merobohkan tempat sembayang kaum itu.
"Kita mahu ( Tengku Adnan) letak jawatan, beliau langsung tidak layak jadi menteri, beliau seorang yang kejam kerana tidak mengendahkan permintaan kaum India untuk tidak menyentuh kuil ini dia tidak hormat kepada kita," katanya kepada pemberita sebaik saja beliau dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebentar tadi.
Ketua Pemuda MIC itu juga turut meluahkan kekesalan kerana insiden ini berlaku selepas negara menyambut kemerdekaan dan berbeza dengan apa yang diseru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam gagasan "1 Malaysia."‎
Pagi tadi , keadaan di Kuil Hindu Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P.Ramlee yang terletak di ibu negara bertukar kecoh apabila DBKL dilaporkan cuba merobohkan kuil tersebut.
Bagaimanapun salah faham tersebut dijelaskan oleh pegawai khas Tengku Adnan yang berkata DBKL cuma ingin membina tembok bagi memberi laluan kerja pembinaan di bangunan Hap Seng.

Menurut Ramakrishnan, kerja pembinaan bangunan Hap Seng membabitkan keluasan lapan kaki dalam kawasan kuil yang dibina atas tanah kerajaan itu.
Keadaan bertukar tegang apabila pegawai khas Tengku Adnan itu gagal mengemukakan notis selain pembinaan tembok atau dinding turut menyebabkan tempat sembayang kuil tersebut dirobohkan.
Ia menyebabkan penahanan 11 individu termasuk gerakan pemuda MIC, PKR, dan ahli jawatankuasa kuil sebelum dibebaskan lima jam kemudian.
Mohan bersama yang lain didakwa dibawah seksyen 180 Akta Kanun keseksaan dimana menghalang penjawat awam bertugas.
Polis membebaskan beliau dengan jaminan mulut dan Mohan perlu menghadirkan diri ke IPD Dang Wangi pada 2 Oktober.
"Dalam kes ini tidak salahkan polis, kita faham kerja mereka, tapi DBKL ini mereka ini macam samseng, langsung tidak menghormati rumah tuhan kami, masuk tidak buka kasut, rokok dalam kuil jadi inikah keperibadian ditonjolkan oleh penjawat awam," katanya lagi.
Menurut Mohan, Kabinet telah membuat keputusan untuk menangguhkan perobohan kuil itu dan turut mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila perkara itu telah dicatit dalam minit sebagai bukti ia merupakan akuan rasmi.
Mogan turut mendakwa, wujud kepentingan pihak tertentu yang mengaut keuntungan dari projek pembinaan bangunan Hang Seng.

"Kita tidak faham mengapa pembinaan itu boleh dibuat di tapak kuil, mengapa ia diluluskan adakah pihak lain mengaut keuntungan dari projek ini kita akan siasat dan akan adukan pada Suruhanjaya Pencegah Rasuah," katanya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Hamzah mengesahkan hanya lapan orang saja yang ditahan polis walaupun ketua pemuda MIC itu berkata 11 orang telah ditangkap.
Malah, Zainuddin juga menegaskan mereka tidak menangkap pemimpin dari pemuda MIC itu sebaliknya beliau dibawa ke balai polis hanya untuk memberi keterangan.
Zainuddin juga berkata notis yang dihantar oleh DBKL kepada pihak kuil tidak sampai akibat dari campur tangan politik.



OPERASI TIDAK SASAR KAUM TERTENTU




ALOR SETAR, 3 Sept (Bernama) -- Ops Cantas Khas yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak lebih dua minggu lalu tidak mensasarkan kaum tertentu sahaja, sebaliknya ia adalah usaha serius mengesan penjenayah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya dakwaan bahawa PDRM mensasarkan kaum tertentu tidak berasas apabila daripada 4,626 tangkapan yang dilakukan, 2,581 orang adalah penjenayah Melayu, 715 orang Cina dan 1,146 India.

"Tak tuju kepada sesuatu bangsa. Kita "buta warna" dalam perkara ini. Jangan anggap polis hanya tumpu kepada kaum tertentu sahaja yang lakukan jenayah. Ini memperlihatkan keseriusan kita," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini Selasa.

Katanya masalah jenayah harus ditangani dengan serius kerana pihaknya mahu mengembalikan keyakinan rakyat kepada PDRM.

"Selama ini mereka (sebahagian rakyat) mencemuh kebolehan kita disebabkan banyak kejadian pembunuhan, tembakan, jenayah kekerasan, jenayah harta benda, jenayah indeks dan pelbagai jenayah lain.

"Saya perlukan kerjasama penuh daripada PDRM untuk kembalikan keyakinan.

Jelas kejayaan yang dicapai ketika ini meningkatkan keyakinan orang ramai kepada PDRM. Untuk Kedah tahun ini (ketika ini), jenayah indeks turun sebanyak 11.5 peratus, jenayah kekerasan 4 peratus dan jenayah harta benda 14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Saya yakin sehingga akhir tahun banyak lagi kejayaan akan dicapai," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata usaha penghapusan jenayah oleh PDRM merupakan kerja yang harus diberi pengiktirafan, walaupun ia masih tidak mencukupi dan perlu dilakukan secara berterusan.

"Orang ramai perlu beri sokongan kepada usaha polis termasuk menyertai "Rakan Cop" yang akan saya lancarkan semula. Akan ada juga penambahan polis bantuan dan skuad muda. Di luar Polis pula, kita akan perkuatkan Rela, keanggotaan mereka akan ditambah. Begitu juga JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) yang akan membantu polis.

"Selain itu, Imigresen sejak 1 Sept kita serius mulakan tangkapan secara besar-besaran kepada PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin). Kita akan teruskan. Rundingan dengan perwakilan negara-negara sumber telah dilakukan sebaik mungkin," katanya.

Mengenai operasi di kawasan sempadan negara, Ahmad Zahid berkata perbincangan telah diadakan melibatkan pegawai atasan PDRM, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Kastam bagi menjalinkan kerjasama penguatkuasaan.

"Kita kena berfikiran di luar kotak. Kemudahan atau aset jabatan lain boleh digunakan bersama. Pertukaran maklumat dan guna kemudahan bersama harus dilakukan. Negara ini negara kita. Agensi dan jabatan, kerajaan negara yang sama Kemudahan ini seharusnya digunakan sepenuhnya," katanya.

KERAJAAN PERLU PERTIMBANGKAN SEMULA TAMBAT NILAI RINGGIT !!!



Dalam kepayahan kita mencerna berita pengurangan subsidi minyak,berbagai-bagai persoalan dikemukakan mengenai rasionalitinya tindakan ini diambil.Ramai yang melihat bahawa pengurangan subsidi minyak seharusnya menjadi pilihan terakhir untuk merancakkan ekonomi negara.Ini bukan kali pertama subsidi dikurangkan.Dari pengalaman Malaysia,telah beberapa kali subsidi dikurangkan dan setiap kali juga ia akan berhadapan dengan kemarahan rakyat.Apa yang penting ialah kerajaan harus menunjukkan bahawa langkah ini diambil sebagai pilihan terakhir.Dalam pemerintahan Tun Mahathir,kenaikan harga minyak diimbangi dengan kenaikan cukai hiburan,cukai korporat,cukai minuman keras, rokok dan sebagainya.Dengan cara itu,ekonomi negara terus rancak dan rakyat juga tidak marahkan kerajaan.Dalam menghadapi krisis kewangan pula,Tun Mahathir melaksanakan kaedah tambatan ringgit,sekali lagi bagi mengelakkan rakyat bawahan menerima kesan yang besar.

Kaedah ini dilihat sesuai digunakan pada hari ini di mana keadaan Ringgit Malaysia yang semakin merudum.Hari ini,Ringgit Malaysia jatuh ke paras rendah berbanding dolar Amerika untuk tempoh tiga tahun dan 15 tahun rendah berbanding dolar Singapura menjadikan dagangan import lebih mahal sementara nilai eksport lebih rendah meskipun jumlah eksport menurun.Justeru,tambatan nilai ringgit harus dilakukan segera bagi mengelakkan nilai ringgit terus jatuh.Secara ringkasnya,pengurangan subsidi adalah tidak perlu sekiranya beberapa langkah lain dilaksanakan.Apa yang lebih membimbangkan ialah desas-desus bahawa kerajaan bakal mengambil langkah yang bertentangan dari yang diambil oleh Tun Mahathir dalam menghadapi situasi sama.Jika Tun Mahathir memilih untuk menaikkan cukai korporat dan menyalurkan pendapatan dari situ kepada golongan berpendapatan rendah melalui subsidi,kerajaan hari ini dikhabarkan akan mengurangkan lagi cukai korporat atas alasan untuk merancakkan ekonomi.saya menyambut baik cadangan kerajaan untuk menggunakan penjimatan dari pengurangan subsidi minyak bagi pembangunan luar bandar,peningkatan kadar BR1M dan program-program kewangan untuk golongan berpendapatan rendah.

Namun,jumlah RM1.1 billion tidak mungkin mampu melonjakkan kedudukan ekonomi masyarakat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi menyaingi golongan berpendapatan tinggi.Sebaliknya,ekonomi yang rancak hasil dari pengurangan cukai korporat dan dasar terbuka akan melipatkan-gandakan pendapatan golongan berpendapatan tinggi.Keadaan ini akan menyebabkan harga hartanah meningkat berlipat kali ganda,begitu juga dengan harga barangan harian.Kadar peningkatan pendapatan kedua-dua golongan yang tidak seiring akhirnya akan melebarkan lagi jurang ekonomi.Di kala golongan berpendapatan tinggi melonjak secara drastik,golongan berpendapatan rendah masih merangkak untuk membina ekonomi keluarga.

Dari segi politik pula,tindakan tidak popular tidak seharusnya diambil jika masih ada cara lain.Rakyat berpendapatan rendah dan luar bandar mungkin merasa gembira dengan pengumuman peningkatan BR1M,tetapi rakyat berpendapatan sederhana yang merupakan kumpulan paling ramai menggunakan RON95 tertanya-tanya apakah faedahnya untuk mereka.Ini menimbulkan persoalan sinis dan kritikal terhadap kerajaan kerana mereka tidak layak menerima BR1M serta tidak pula mampu menyertai ‘pesta ekonomi’ golongan berpendapatan tinggi.Mereka terperangkap dalam kos sara hidup dan hartanah yang melonjak tinggi di bandar.Memandangkan masalah utama ialah penurunan nilai ringgit,maka sebaiknya kerajaan menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkannya terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa membuat keputusan.Dengan itu,kaedah tambatan nilai ringgit dilihat sebagai kaedah paling tepat.Kaedah ini akan membantu meningkatkan populariti kerajaan di kalangan rakyat marhaen serta membawa kesan jangka panjang yang lebih baik dari segi mendekatkan jurang ekonomi di dalam masyarakat.ini adalah pandangan saya untuk kerajaan.

SUMBER

Tuesday, 3 September 2013

PAS PERLU MINTAK IZIN DAP DULU...!!!



Ahmad Yahaya puas hati tak? Mahfuz macam mana? Puas hati? Amirruddin yang melalak dalam Facebook kononnya "jaguh" Undang-Undang Jenayah Syariah tu puas hati tak dengan "counter attack" pasal Rang Undang-Undang Anti-Syiah tu?

Bukan apa... kalau tak puas hati, rasanya depa boleh rujuk dulu pada DAP. Bukan ke DAP tu "mursyidul am" Pakatan Haram...

Setahu aku...Ahmad Yahaya hari tu bising dalam sidang DUN melalak pasal RUU yang digubal tu tak menyeluruh katanya sebab tak sentuh tentang hukuman minum arak, zina dan qazaf. Amiruddin pun sama jugak.. dia menyalak dalam FB.. tak berani kena tibai dalam sidang DUN la kottt...


Amiruddin kata, minum arak, zina dan qazaf tu semua di bawah hukum hudud. Dia persoal kenapa tak dibuat undang-undang baru untuk perkara tu semua...

Aku nak tanya laaa... PAS dah rujuk ke dengan DAP nak buat hudud ni? DAP setuju ke? Bukan setakat DAP...PKR pun tak setuju...kan?

Lagi satu, masa PAS jajah Kedah selama 5 tahun, langsung PAS tak ubah undang-undang jenayah syariah yang membabitkan minum arak, zina dan qazaf! Awat tak ubah masa tu? Heh! Ada kuasa, tapi tak ubah jugakkkk... Puiii..!!! Pak Lebai jenis apa Ahmad Yahaya ni..?

Jadi, alasan 9 ADUN PAS untuk tolak RUU anti-Syiah tu nampaknya tak logik langsung dan tak boleh diterima. Memang depa sengaja tolak RUU anti-Syiah tu kottttt... awat? Takut undi Syiah hilang dari PAS? Heh!

SUMBER

Kekecohan Di Pam Minyak Akibat Kenaikan Harga Minyak!!!



Akibat kenaikan harga minyak malam tadi, kekecohan berlaku di seluruh negara sehingga menyebabkan sebuah pam minyak di Batu Buruk, Kuala Terengganu dilanggar.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta terlanggar pam minyak di stesen berkenaan menyebabkan kaca dan plastik bertaburan.

Petang semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan Diesel sebanyak 20 sen lagi menjadikannya masing-masing RM2.10 dan RM2.00 seliter.

Ia bakal diikuti oleh kenaikan harga tarif elektrik dan juga pelaksaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas ini.

Ekoran itu, pengguna menyerbu stesen minyak di seluruh negara menyebabkan kekecohan berlaku sehingga tengah malam tadi.

Menurut saksi, kejadian di Batu Buruk itu berlaku ketika semua berebut-rebut untuk mengisi minyak selepas pengumuman mengenai kenaikan harga itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya , berkata kerajaan BN perlu menggunakan kuasa yang ada bagi mengawal kenaikan harga barangan khususnya selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Katanya, rakyat sanggup bersusah-payah bersama kerajaan kalau kerajaan menunjukkan pembetulan pada sikap borosnya yang keterlaluan.


"Malangnya ini bukan kesnya. Kenaikan harga minyak ini mesejnya mudah iaitu rakyat mesti ubah gaya hidup, kerajaan boleh terus berboros,” katanya. ~the malaysian insider

Harga Minyak Naik!!!

minyak naik

SHAH ALAM – Pengumuman kenaikan harga diesel dan minyak petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam tadi memeranjatkan dan dijangka meningkatkan kos terhadap pengusaha serta pengguna di negara ini.

Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Abu Samah Bachik berkata, pihaknya tidak dimaklumkan awal mengenai kenaikan itu dan pengumuman tersebut sememangnya sesuatu yang tidak diduga.

“Pada mulanya kami hanya dengar khabar angin dan anggap ia tidak betul. Kami tidak menjangkakan kenaikan yang begitu mendadak dan kadar 20 sen itu memang banyak dan akan membebankan pengusaha stesen minyak kerana kita perlu mengeluarkan modal lebih untuk membeli stok minyak.

“Kos operasi stesen minyak juga akan meningkat akibat kenaikan itu dan sudah pastinya pengguna juga akan terbeban kerana kos sara hidup mereka meningkat,” katanya kerajaan perlu cari mekanisme terbaik membantu rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi tidak seimbang sebelum menaikkan harga petrol.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman turut terkejut kerana dalam keadaan ekonomi tidak stabil, pastinya akan memberikan kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan diharapkan jangan hanya tahu menaikkan harga minyak, sebaliknya mesti mencari kaedah lain membantu rakyat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau menyarankan kerajaan menggunakan kaedah lain seperti memperkenalkan kad rebat kepada rakyat.

“Saya cadangkan supaya kerajaan berikan kelebihan kepada individu yang menggunakan kereta nasional dan pengguna motosikal supaya mendapat harga berlainan bagi membantu mereka.

“Ini kerana jika diberikan harga murah, semua dapat menikmatinya tidak mengira sama ada golongan kaya atau miskin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap rakyat bijak mengatur perjalanan bagi mengelakkan penggunaan petrol yang tinggi.

“Sebagai pengguna, kita kena bijak dan mencari kaedah untuk mengelakkan pembaziran penggunaan petrol.

“Walaupun kita kecewa, tapi kita tetap tidak boleh membiarkan perkara itu membelenggu hidup, jadi jalan terbaik amalkan kongsi kereta dan kerap gunakan kenderaan awam,” katanya.