Sebaik sahaja pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermula pagi ini, pengerusinya, Karpal Singh memberi amaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya berhenti menyerang atau bersedia berdepan tindakan undang-undang.
Malah, Karpal berkata, ini adalah amaran terakhir DAP kepada RoS.
“Saya memerhatikan RoS sejak Disember tahun lalu dan memberi perhatian kepada apa yang dia cakap,” katanya merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat Ketua Pengarah RoS, Datuk Abdul Rahman Othman.
“Dan saya tidak akan melepaskan dia jika dia bercakap sesuatu yang menjejaskan reputasi DAP. Jangan bermain dengan Roket. Ini adalah amaran terakhir,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan ketika parti mengadakan pengundian semula hari ini untuk memilih CEC seperti diarahkan RoS.
DAP mengadakan pemilihan CEC baru untuk mengelak pembatalan pendaftaran parti itu mengikut arahan RoS pada 30 Julai.
RoS mengarakan pemilihan diadakan semula selepas beberapa ahli tidak berpuas hati mendakwa pemilihan pada Disember tahun lalu tidak dikendalikan engan sempurna selepas parti mengumumkan kesilapan dalam pengiraan undi mengakibatkan kesilapan calon terpilih ke CEC.
Ahli yang tidak berpuas hati itu juga mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai pengundian itu.
Setiausana Penganjur Kebangsaan DAP, Anthony Loke menafikan tuduhan bahawa parti tidak memaklumkan kepada 753 perwakilan mengenai pengundian parti dan menunjukkan bukti berhubung rekod kehadiran ahli, tanda tangan dan resit pos yang menunjukkan bahawa notis sudah dihantar.
Sebanyak 2,576 perwakilan daripada 985 cawangan akan memilih 20 calon CEC.
Sebuah firma audit antarabangsa turut Dilantin untuk memantau proses pengiraan undi bagi mengelak kesilapan mengira undi berulang.
Cubaan seorang bekas pemimpin akar umbi untuk memfailkan tuntutan menghentikan pemilihan hari ini dibuang oleh mahkamah pada Jumaat lalu.
Ahli akan mula mengundi jam 1 petang dengan keputusan dijangka diperolehi menjelang jam 7 malam.
Karpal memberi amaran bahawa RoS sepatutnya tahu kesabaran DAP ada hadnya dan menekankan selepas prosiding hari ini, parti itu mahu RoS tidak lagi mengganggu bagi membolehkan mereka terus melaksanakan tugas.
Beliau berkata, parti itu tidak seharusnya dihukum kerana berlaku jujur dan mengakui kesilapan itu.
“Kami boleh sahaja mendiamkan diri dan membiarkan penipuan itu. Kami tidak berbuat demikian kerana kami adalah parti berprinsip yang tidak membenarkan kesilapan dibiarkan tanpa diperbetulkan,” katanya.
Menggambarkan pemilihan semula hari ini sebagai “luar biasa”, Karpal berkata penghargaan diberikan kepada ahli yang hadir membuang undi iaitu hampir 85 peratus kehadiran berbanding pemilihan sebelum ini sebanyak 71 peratus ahli hadir.
“Ini akan menunjukkan kepada RoS bahawa DAP kuat, jangan main-main dengan DAP,” katanya yang menerima tepukan gemuruh hadirin.
Beliau berkata, nasihat daripada pakar undang-undang Shad Saleem Faruqi untuk mengadakan dialog dengan RoS “patut dipertimbangkan” akan diteliti secara berhati-hati.
Sementara itu, Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng, berkata di sebalik segala kesukaran dilalui dengan RoS berhubung pemilihan baru dalam tempoh beberapa bulan lalu, parti akan tetap teguh berdiri.
“Kita akan tunjuk kepada RoS bahawa kita akan menewaskan usaha terakhir mereka. DAP akan terus kuat dan kita tidak akan dibuli lagi,” katanya.
Beliau percaya parti itu akan berkembang menjadi lebih kuat selepas krisis itu dan terus berjuang untuk rakyat. – 29 September, 2013.-MI
No comments:
Post a Comment