Thursday, 12 September 2013

HOT!!! Pemilihan Umno Kali Ini Adalah Perang Proksi





Pemilihan kepimpinan Umno akhir tahun ini adalah tentang siapakah yang akan mengawal paling ramai anggota Majlis Tertinggi (MT), diantara Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Inilah pandangan penganalisis terhadap apa yang berlaku dalam Umno sekarang.
Bagi mereka, Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai presiden dan timbalan presiden, namun usaha sedang dibuat oleh pihak masing-masing untuk mengumpul penyokong.
Bagi mereka, ada tiga senario yang boleh berlaku dalam pemilihan Umno kali ini.
Yang pertama adalah pertembungan secara langsung antara Najib dengan Muhyiddin untuk jawatan presiden. Namun, ia agar sukar untuk berlaku memandangkan ahli Parlimen Pagoh itu mengambil sikap jawatan nombor dua dalam Umno dan kerajaan sudah memadai untuknya.
Yang kedua adalah pertembungan antara pemimpin Umno lain, misalnya Tengku Razaleigh Hamzah dengan Najib.
Namun ramai yang beranggapan Tengku Razaleigh tidak akan atau tidak mampu berbuat demikian kerana sudah beberapa kali dijangkakan berbuat demikian tetapi tidak berlaku.
‎Yang ketiga masing-masing menguatkan sokongan di kalangan anggota MT dengan presiden dan timbalan akan kekal.
"Walaupun ketiga-tiganya mungkin berlaku, saya rasa yang ketiga paling besar peluangnya," kata seorang saintis politik dari negara jiran, Bridget Welsh yang faham tentang politik Malaysia kepada The Malaysian Insider.
‎Seorang penganalisis lain pula menyokongnya dengan menjangka kumpulan Najib akan bertembung dengan penyokong Dr Mahathir untuk menguatkan penyokong masing-masing dalam MT.
"Lihat apa yang berlaku kepada Datuk Seri Azalina (Othman Said). Saya yakin, kumpulan yang menyokong Najib 'menguruskan' Azalina agar jangan mencabar Shahrizat kerana Shahrizat adalah penyokong Najib," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Azalina semalam mengesahkan kepada The Malaysian Insider beliau tidak akan bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno, sebaliknya akan bertanding untuk MT sahaja.
Difahamkan walaupun menjadi pencabar hebat kepada penyandang jawatan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjelang pemilihan parti tidak lama lagi, Azalina dikatakan membuat keputusan itu selepas “dinasihatkan” berbuat demikian.
Difahamkan Azalina akan diberikan jawatan kanan dalam sayap Wanita Umno selepas pemilihan nanti dan jawatan penting dalam syarikat berkait kerajaan (GLC) jika tidak bertanding.
Apabila dihubungi, Azalina berkata beliau tidak akan melawan Shahrizat dan akan membuat kenyataan rasmi pada 20 September, sehari sebelum pencalonan untuk sayap Wanita Umno, Pemuda dan Puteri.
Sebelum ini, Azalina, bekas Ketua Puteri Umno di zaman Tun Dr Mahathir menjadi presiden Umno telah membayangkan akan bertanding merebut jawatan ketua wanita itu.
Isu kerajaan perpaduan juga adalah sebahagian dari “game” ini.
Ia dikatakan usaha kumpulan Najib untuk menghantar mesej kepada kumpulan Dr Mahathir agar jangan menekan beliau.
‎Seorang pemimpin kanan PKR yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin Umno mendakwa, Najib mahu memberikan signal kepada Dr Mahathir dan kumpulannya, beliau mempunyai “option” lain iaitu Anwar melalui kerajaan perpaduan jika terus ditekan.
Ketika Dr Mahathir dikatakan menyokong Najib agar kekal sebagai presiden dalam pemilihan kali ini, para penyokong beliau khasnya blogger menyerang perdana menteri dari pelbagai sudut.
Datuk Ahirudin Atan melalui blognya, Rocky's Bru dan Syed Akbar Ali melalui blog OutSyed The Box, menyerang Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Syed Akbar pergi lebih jauh dengan menamakan Najib sebagai Datuk "Sewel" Najib Tun Razak di blognya.
Selain itu, melalui dialognya dengan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Dr Mahathir menolak cadangan Perjanjian Persefahaman Trans Pasifik (TPPA) yang sedang diusahakan Najib dan rakan-rakannya dalam Kabinet.
Dr Mahathir dikatakan menyifatkan perjanjian ini bakal menyebabkan negara “terjajah” secara tidak langsung.
Di samping itu, pemansuhan Ordinan Darurat (EO) yang dibuat oleh pentadbiran Najib juga mendapat serangan dari para blogger yang mempunyai hubungan rapat dengan Dr Mahathir.
"Saya sangat tertarik dengan hilangnya Datuk Seri Rosmah Mansor dari media sejak kebelakangan ini. Saya yakin beliau sedang bekerja keras untuk mempertahankan suaminya sebagai perdana menteri," kata seorang penganalisis lain.
Beliau yakin, Rosmah mempunyai peranan dalam penarikan diri Azalina untuk bertanding jawatan ketua wanita Umno.
Beliau juga yakin, Rosmah akan memastikan Khairy Jamaludin Abu Bakar, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Datuk Abdul Rahman Dahlan selain Shahrizat sendiri, akan menang dan menyertai MT Umno dalam pemilihan kali ini.
"Saya juga yakin, Rosmah mempunyai peranan dalam memastikan empat calon Pemuda Umno yang akan merebut kerusi dalam Majlis Tertinggi dalam pemilihan kali ini," kata beliau.
Khairy sebelum ini memaklumkan, empat Exco Pemuda Umno akan bertanding merebut kerusi MT.
Empat nama yang telah disahkan bertanding adalah Naib Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, Ketua Penerangan, Datuk Seri Reezal Merican, Exco Biro Ekonomi, Datuk Shuhami Shahadan serta Ketua Unit Media Baru, Tun Faisal Tun Ismail Aziz.
Kesemua mereka diumumkan oleh Ketua Pemuda Umno itu semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini. - 12 September, 2013.

No comments:

Post a Comment