Wednesday, 11 September 2013

Ir Mahmood Amir : Harga Rumah Naik Tidak Dapat Dielak


SENAI – Kenaikan harga rumah susulan akibat pengurangan subsidi diesel dan petrol RON95 oleh kerajaan baru-baru ini tidak dapat dielakkan bagi menampung kenaikan kos pengangkutan yang ditanggung kontraktor.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor, Ir Mahmood Amir berkata, kenaikan harga rumah adalah senario biasa apabila berlaku kenaikan harga bahan api bagi mengelakkan kontraktor dan pemaju mengalami kerugian.

“Apabila harga minyak naik, secara tidak langsung harga semua barang juga akan naik, namun sejauh mana kadar kenaikan itu bergantung kepada pengiraan masing-masing.

“Kalau tidak naikkan harga, kontraktor terpaksa kurangkan saiz rumah untuk seimbangkan kos dan keuntungan mereka, jika tidak mereka akan rugi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, pasaran perumahan dan hartanah dijangka terus rancak dalam tempoh jangka pendek walaupun berlaku kenaikan harga berikutan trend permintaan terhadap sektor hartanah meningkat ketika ini.

Bagaimanapun katanya, beliau menjangkakan masalah bakal timbul dalam kalangan pengguna dan pemilik rumah bagi tempoh jangka panjang kerana komitmen bayaran ansuran bulanan yang perlu ditanggung amat tinggi.

“Dalam tempoh satu atau dua tahun ini kenaikan harga rumah tidak akan menjejaskan pasaran perumahan kerana trend permintaan ketika ini sangat tinggi.

“Namun masalah akan mula timbul selepas tiga tahun kemudian apabila pembeli rumah terpaksa menanggung ansuran bulanan rumah yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mahmood menggesa pihak kerajaan memberi perhatian sepenuhnya dalam menangani isu rasuah yang berlaku di negara ini di samping mengawal perbelanjaan agar tidak menyebabkan defisit kepada ekonomi.

“Saya percaya jika isu rasuah ditangani dan perbelanjaan dilakukan secara terkawal akan dapat membantu kerajaan menampung jumlah subsidi bahan api sekali gus mengelakkan senario kenaikan harga,” katanya.

No comments:

Post a Comment