Friday, 13 September 2013

Bank Negara enggan kaji semula tempoh pinjaman peribadi





Bank Negara Malaysia menegaskan ia tidak akan mengkaji semula keputusannya mengenai penetapan had tempoh pembayaran semula 10 tahun bagi pinjaman peribadi.Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata tempoh 10 tahun bagi pembayaran semula pinjaman peribadi adalah yang paling lama kerana lazimnya, di negara lain, tempoh pembayaran semula adalah enam tahun.

Katanya, tempoh yang ditetapkan itu dilihat sesuai kerana bank pusat itu tidak mahu rakyat negara ini dibebani hutang dengan tempoh pembayaran semula yang lama hanya bagi pinjaman peribadi.



Lagipun, katanya, mereka yang membuat pinjaman peribadi lazimnya menggunakan wang itu bagi tujuan penggunaan seperti berkahwin dan wang yang dipinjam itu habis begitu saja berbanding pinjaman perumahan yang mana peminjam akan memiliki aset sebaik saja mereka telah melunaskan pinjaman itu.
“Bagi pinjaman peribadi, peminjam membelanjakan wang dalam beberapa hari dan mereka perlu melalui kesengsaraan membayar hutang untuk tempoh 10, 15 hingga 20 tahun,” katanya ketika ditemui selepas penutup Forum Dasar Global Alliance for Financial Inclusion (AFI) Kelima di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas rayuan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk bank pusat itu mengkaji semula had pembayaran semula pinjaman peribadi.
Pada Julai lalu, Bank Negara memperkenalkan syarat tambahan bagi pinjaman peribadi, kediaman dan bukan kediaman dalam usaha mengelakkan hutang isi rumah berlebihan dan meningkatkan amalan pemberian pinjaman bertanggungjawab oleh pemberi kredit utama.
Syarat berkenaan ialah mengenakan tempoh maksimum 10 tahun bagi pembiayaan peribadi, maksimum 35 tahun pembiayaan hartanah kediaman dan bukan kediaman serta mengharamkan tawaran produk pembiayaan peribadi yang diluluskan lebih awal.
Dalam perkembangan lain, Zeti berkata, peningkatan harga bahan api baru-baru ini belum memberi kesan kepada kadar inflasi kerana ekonomi global masih mencatatkan pertumbuhan sederhana.
Beliau berkata, bila harga bahan api meningkat, ia adalah harga global dan ia di luar kawalan kerajaan.
“Jika harga komoditi global, termasuk harga bahan api, meningkat dengan ketara, sudah tentu akan menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi, dan apabila harga bahan api meningkat, ia adalah harga global yang di luar kawalan kita.
“Terdapat had kepada apa yang kerajaan boleh bantu. Mana-mana kerajaan di dunia yang cuba untuk mengawal kenaikan harga itu melalui subsidi akan akhirnya mengalami beban kewangan yang tidak mampan,” katanya.
Bagi tempoh Januari hingga Julai, inflasi di Malaysia kekal rendah pada paras 1.7 peratus.

No comments:

Post a Comment