Saturday 7 September 2013

Harga Rumah:Presiden pemaju Cina mahu naik,Pengarah perumahan Melayu kata kekal.



Pengarah urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Kamarul Rashdan Salleh menolak jangkaan oleh persatuan pemaju bahawa peningkatan harga minyak akan turut menyumbang kepada peningkatan harga rumah sehingga 10 peratus.

Menurut Kamarul, harga rumah tidak akan naik kerana permintaan tidak berlaku disebabkan kenaikan harga minyak yang menjejaskan kemampuan pembeli.

Katanya, beliau juga melihat bahawa permintaan untuk rumah kini dalam trend menurun antara satu hingga dua peratus setahun.

“Penurunan ini dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk syarat yang dikenakan oleh Bank Negara untuk pinjaman perumahan semakin ketat.

“Selain itu, spekulasi yang mengatakan kerajaan akan mengetatkan daasar pembelian rumah juga mempengaruhi permintaan.

“Antara lain, pelabur hartanah kini menumpukan semula pelaburan di negara maju seperti Amerika Syarikat berikut keadaan ekonomi dunai semakin pulih menyebabkan kurang pelaburan hartanah di negara ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy bahawa peningkatan harga minyak itu menyebabkan kos bahan binaan meningkat.

Selain itu, peningkatan harga rumah berkenaan juga berpunca dari kekurangan jumlah tenaga kerja asing ekoran operasi besar-besaran yang dijalankan kerajaan untuk membasmi pendatang asing tanpa izin, katanya.

Menurutnya kontraktor akan memindahkan kos yang ditanggung akibat kelewatan projek berkenaan kepada pembeli.

“Operasi ke atas tapak pembinaan juga menakutkan pekerja asing yang sah,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Beliau berkata golongan pekerja berkenaan akan ponteng kerja atau menangguhkan kepulangan mereka ke negara ini, sehinggalah operasi penguatkuasaan itu berakhir.

Menurutnya, pemaju terpaksa menanggung kos lebih tinggi untuk tenaga kerja untuk mengelakkan daripada didenda kerana tidak mengikut perjanjian.

No comments:

Post a Comment