Wednesday 4 September 2013

OPERASI TIDAK SASAR KAUM TERTENTU




ALOR SETAR, 3 Sept (Bernama) -- Ops Cantas Khas yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak lebih dua minggu lalu tidak mensasarkan kaum tertentu sahaja, sebaliknya ia adalah usaha serius mengesan penjenayah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya dakwaan bahawa PDRM mensasarkan kaum tertentu tidak berasas apabila daripada 4,626 tangkapan yang dilakukan, 2,581 orang adalah penjenayah Melayu, 715 orang Cina dan 1,146 India.

"Tak tuju kepada sesuatu bangsa. Kita "buta warna" dalam perkara ini. Jangan anggap polis hanya tumpu kepada kaum tertentu sahaja yang lakukan jenayah. Ini memperlihatkan keseriusan kita," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini Selasa.

Katanya masalah jenayah harus ditangani dengan serius kerana pihaknya mahu mengembalikan keyakinan rakyat kepada PDRM.

"Selama ini mereka (sebahagian rakyat) mencemuh kebolehan kita disebabkan banyak kejadian pembunuhan, tembakan, jenayah kekerasan, jenayah harta benda, jenayah indeks dan pelbagai jenayah lain.

"Saya perlukan kerjasama penuh daripada PDRM untuk kembalikan keyakinan.

Jelas kejayaan yang dicapai ketika ini meningkatkan keyakinan orang ramai kepada PDRM. Untuk Kedah tahun ini (ketika ini), jenayah indeks turun sebanyak 11.5 peratus, jenayah kekerasan 4 peratus dan jenayah harta benda 14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Saya yakin sehingga akhir tahun banyak lagi kejayaan akan dicapai," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata usaha penghapusan jenayah oleh PDRM merupakan kerja yang harus diberi pengiktirafan, walaupun ia masih tidak mencukupi dan perlu dilakukan secara berterusan.

"Orang ramai perlu beri sokongan kepada usaha polis termasuk menyertai "Rakan Cop" yang akan saya lancarkan semula. Akan ada juga penambahan polis bantuan dan skuad muda. Di luar Polis pula, kita akan perkuatkan Rela, keanggotaan mereka akan ditambah. Begitu juga JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) yang akan membantu polis.

"Selain itu, Imigresen sejak 1 Sept kita serius mulakan tangkapan secara besar-besaran kepada PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin). Kita akan teruskan. Rundingan dengan perwakilan negara-negara sumber telah dilakukan sebaik mungkin," katanya.

Mengenai operasi di kawasan sempadan negara, Ahmad Zahid berkata perbincangan telah diadakan melibatkan pegawai atasan PDRM, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Kastam bagi menjalinkan kerjasama penguatkuasaan.

"Kita kena berfikiran di luar kotak. Kemudahan atau aset jabatan lain boleh digunakan bersama. Pertukaran maklumat dan guna kemudahan bersama harus dilakukan. Negara ini negara kita. Agensi dan jabatan, kerajaan negara yang sama Kemudahan ini seharusnya digunakan sepenuhnya," katanya.

No comments:

Post a Comment