Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sekali lagi menepis tuduhan yang mendakwa anaknya memiliki harta di luar kemampuan.
Kali ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengeluarkan kenyataan dengan bukti dokumen kononnya Mohamed Nedim Abdul Aziz membeli sebuah banglo berharga RM7.2 juta.
“Dia boleh beli istana, bukan masalah saya,” kata Nazri kepada wartawan apabila ditanya di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, beliau kelihatan seperti terpinga-pinga mengenai tuduhan terbaru itu.
Pada mulanya Nazri seolah-olah terkejut dan bertanya: “Rumah apa?”
SAMM menerusi ketua penyelarasnya, Badrul Hisham Shahrin hari ini meminta Nazri menjelaskan bagaimana anaknya mampu memiliki hartanah mewah itu.
"Ini bukan tuduhan tetapi sebagai seorang Menteri sudah tentu rakyat berhak bertanya kepada Nazri mengenai banglo anaknya ini.
"Bagaimana anaknya dapat membeli banglo ini? Adakah dia layak?” katanya melalui kenyataan media.
Badrul juga tidak menolak kemungkinan wujudnya dakwaan itu berkait rapat dengan pemilihan Umno yang bakal berlangsung Oktober nanti.
Ini bukan kali pertama Nedim mendapat perhatian media.
Baru-baru ini beberapa pemblog mempersoalkan keputusan Nazri melantik Nedim sebagai pegawai di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Bagaimanapun, Nazri menjelaskan Nedim hanya dilantik sebagai pegawai penyelaras di kawasan Parlimennya di Padang Rengas dan tidak dibayar gaji oleh kerajaan.
Tahun lalu pula, Nedim didakwa memiliki sebuah kereta mewah sumbangan ahli perniagaan kontroversi Michael Chia.
Bagaimanapun, Nazri menepis tuduhan itu dengan menyatakan beliau tidak “tidur” dengan anaknya.
No comments:
Post a Comment