PULAU PINANG 10 Sept. - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak berhasrat melanjutkan tempoh diskaun sebanyak 20 peratus yang ditawarkan kepada peminjam untuk membuat bayaran penuh pinjaman masing-masing.
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, peminjam tabung berkenaan seharusnya merebut peluang tersebut yang akan berakhir 30 September ini kerana tawaran sedemikian tidak dibuat pihaknya sebelum ini.
"Kita tidak bercadang melanjutkan tempoh tawaran ini yang akan berakhir pada 30 September ini, justeru rebutlah peluang ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli UMNO Pulau Pinang di sini malam tadi.
Diskaun hutang berjumlah 20 peratus itu dilaksanakan sejak 1 Oktober tahun lalu dan akan tamat penghujung September ini.
Selain itu, diskaun sebanyak 10 peratus turut diberikan kepada peminjam yang membuat pembayaran secara konsisten dalam tempoh setahun.
Setakat ini, terdapat 400,000 peminjam tegar yang masih gagal membayar pinjaman berjumlah RM2.3 bilion.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong memberitahu, peminjam PTPTN sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab melunaskan hutang mereka malah ramai dalam kalangan mereka sudah bekerja dan ada yang memegang jawatan tinggi.
"Kita pun bukannya kejam, malah kita telah memberi banyak peluang kepada mereka membayar balik hutang. Mereka boleh berunding dengan kita untuk penstrukturan semula pinjaman mengikut kemampuan," katanya.
No comments:
Post a Comment