Wednesday, 21 August 2013

Ops Cantas....


Kuala Lumpur: Lebih 700 individu ditahan polis di beberapa negeri sepanjang Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) yang dilancarkan Sabtu lalu kerana disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah. 

Daripada jumlah itu, Polis Selangor menahan 683 individu termasuk 211 berusia antara 17 hingga 40 tahun yang direman kerana disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah termasuk memiliki senjata dan dadah.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam semalam, berkata operasi dijayakan menerusi sekatan jalan raya di seluruh Selangor dan memeriksa individu, kenderaan serta beberapa premis.


“Kami juga merampas pelbagai senjata berbahaya seperti parang, pisau, peralatan pecah rumah, selain beberapa kereta, motosikal dan wang tunai. Kita akan terus memburu penjenayah dan memeriksa premis termasuk yang disyaki lokasi perjudian, beroperasi tanpa permit serta menggaji pekerja asing yang tiada pasport,” katanya.

Buru empat lelaki

Di Melaka, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata polis sudah memeriksa 29 individu di sekitar daerah Melaka Tengah selain tiga premis, dua kedai dan sebuah rumah sejak Sabtu lalu.

Beliau juga berkata, pihaknya mempergiatkan usaha memburu empat lelaki berusia 25 hingga 40 tahun yang dikenalpasti amat berbahaya, berani dan agresif yang dipercayai terbabit dalam rompakan sebuah kedai emas di Taman Seri Duyong, Seksyen 2, Mac lalu selain kes samun dan memiliki senjata api. 

Di Seremban, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata lapan individu ditahan dalam Ops Cantas, termasuk empat lelaki yang dikehendaki kerana pelbagai kesalahan jenayah selepas polis memeriksa 491 orang di pelbagai lokasi seluruh negeri itu sejak Sabtu lalu.

“Dua daripada yang ditahan dikehendaki kerana kes samun, seorang lagi kerana samun berkawan menggunakan senjata, manakala seorang lagi lelaki menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata. Empat lagi ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah lain,” katanya.

Di Kota Kinabalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata 18 warga asing yang disyaki terbabit dalam jenayah terancang atau kongsi gelap ditahan di negeri itu menerusi Ops Cantas selepas polis memeriksa 68 orang termasuk 50 warga tempatan sejak Sabtu lalu.

Di Johor Bahru, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner Azizan Anan, berkata polis menahan 64 individu dalam Ops Cantas, hasil pemeriksaan menyeluruh dan sekatan jalan raya.

Di Georgetown, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata pihaknya akan melaksanakan 10 misi menggempur dalam tempoh terdekat bagi melumpuhkan kumpulan kongsi gelap yang terbabit menggunakan senjata api untuk membunuh.

No comments:

Post a Comment