Thursday, 22 August 2013

DAP Cabar Timbalan Menteri!!!


DAP menuntut janji Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang akan 
mempertimbangkan pemimpin pembangkang untuk melawat tapak pembinaan KLIA2. Tony Pua berkata, sejak dua tahun lalu pihaknya meminta satu sesi perjumpaan dengan menteri dan untuk melawat ke tapak pembinaan KLIA2 dan kali terakhir dilakukan ketika sidang Parlimen pada bulan Jun.
“Jika Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi begitu yakin bahawa pembinaan KLIA2 berjalan lancar seperti dijadualkan, apa sebabnya sehingga hari ini kementerian masih enggan menjemput ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) untuk melawat tapak kerja KLIA2?” soal Setiausaha Publisiti DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Abdul Aziz pada Selasa memberi jaminan pembinaan KLIA2 berjalan lancar seperti dijadualkan dan berpuas hati dengan kerja dilaksanakan kontraktor,” katanya.
 Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga memberikan jaminan sebelum ini KLIA2 akan memulakan operasi pada 2 Mei 2014 dan tidak akan ditunda lagi. 
"Jaminan sebelum ini diberikan kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bahawa kos tidak akan meningkat dan kerja pembinaan mengikut jadual tetapi akhirnya, MAHB terpaksa mengakui bahawa projek ini tidak dapat disiap mengikut jadual dan kos melonjak ke RM4 bilion," katanya.
Pua berkata, Abdul Aziz dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Kerja KLIA2 yang berkuasa untuk melibatkan PR dalam satu lawatan ke tapak pembinaan tetapi nampaknya pihak kementerian langsung tidak bersifat telus dan tidak berani berbuat begitu kerana adanya “udang di sebalik batu”.
"Akibat peningkatan kos, MAHB sekarang dilaporkan terpaksa meminjam lagi sebanyak RM1 bilion melalui penawaran sukuk dengan kos yang lebih tinggi," katanya.
Katanya, sikap kerahsiaan MAHB dan kementerian menunjukkan segala jaminan yang diberi oleh kedua-dua pihak adalah jaminan kosong dan ada isu besar ingin dikuburkan supaya rakyat tidak akan mengetahui kebenaran atau pihak yang bersalah tidak akan dikenakan sebarang hukuman.
Pembinaan KLIA2 sepatutnya siap pada September 2011, dan peningkatan kos pembinaan daripada RM1.7 bilion kepada RM4 bilion dibangkitkan oleh ahli parlimen PR sejak dua tahun lalu.
sumber

No comments:

Post a Comment